Ask

ArchiveRSS

Theme

an ordinary girl who likes {extraordinary} low-saturation photos, indie pop & folk music, good food and see before translating the whole world in her dreamy language.

welcome to my language.

Posted 2 years ago
#travel #LANGKAWI
RewindContinue

Perjalanan yang terlalu lama mula membuatkan aku ‘panas’. Satu markah untuk cuaca yang panas dan satu markah lagi untuk daya geseran yang terhasil akibat terlalu lama di atas kusyen kereta. Ditambah daya geseran untuk dua jam seterusnya di atas kerusi feri, aku cuma ditemani rasa tidak sabar untuk menjejakkan kaki di pulau yang tersenarai di antara pulau tercantik di dunia, iaitu Pulau Langkawi.

Bagi pelancong asing, Langkawi adalah satu kawasan yang perlu dilawati sebelum mereka mati. Namun bagi warga tempatan, ia dikenali sebagai kawasan membeli belah sehingga mati. Aku mula gelisah apabila emak dan maksu mula sibuk bercerita tentang kain batik, minyak gamat, pinggan mangkuk Corelle dan Vision kerana apa yang terbayang di kepalaku adalah burung helang, mengelilingi pulau dan berlarian di tepian pantai dengan kaki terjingkit-jingkit.

Nampaknya impianku dimakbulkan.

Perjalanan yang lama akhirnya berbaloi setibanya kami di Pulau Langkawi yang tersimpan seribu satu sejarah.Kami memilih untuk menetap di Pantai Chenang berbanding bermalam di Kuah atas nasihat penduduk setempat, walaupun Kuah nyata lebih hampir kepada pusat membeli belah dan berhampiran dengan Jeti Perlabuhan. Menetap di Pantai Chenang sememangnya pilihan bijak, dan menguntungkan aku secara peribadi, kerana mak dan maksu tidak dapat mengelak pelbagai pakej menarik mengelilingi pulau dan sebagainya dek kecantikan Pantai Chenang.

Sememangnya perjalanan ke Langkawi selama 3 hari tidak akan mencukupi. Terlalu banyak tempat menarik untuk dilawati, dan terlalu banyak kenangan indah yang ditemui. Aku keluar seawal 7 pagi, masuk semula ke resort pada jam 1.15 petang untuk sembahyang dan makan, kemudian keluar semula pada jam 2petang, sebelum kembali semula ke bilik pada jam 11.00 malam. Jadual PLKN pun tidak sepadat ini namun rasa teruja aku lebih penting untuk melihat keindahan Bumi ciptaan Allah ini. InsyaAllah, satu persatu tempat menarik ini akan dikongsi dan dimuatkan dalam entri seterusnya berserta foto yang sempat diambil semasa di sana.

Siapa sangka di sebalik kemajuan yang di capai pada hari ini seperti deretan kawasan bebas cukai atau rumah mewah sebesar istana di tengah sawah padi ini terlindung berjuta sejarah pahit dan duka yang dialami selama tujuh keturunan Mahsuri. Mengagumi sejarah, keindahan dan kemakmuran Langkawi, membuat aku berfikir sejenak, betapa sejarah merubah kita. Sejujurnya, antara banyak-banyak tempat yang aku lawati, inilah satu-satunya tempat yang buat aku meronta-ronta untuk pergi sekali lagi.