ADA APA DENGAN GAMBAR?

Satu gambar menyuarakan berjuta rasa.

Manusia ditakdirkan lahir dengan perasaan. Sekecil kecil bayi menangis, setua tua manusia merenung jauh. Ada yang menyuarakan, ada yang memendam perasaan. Dengan itu, rasa derita hanya terasa seperti luka ringan dan senyum mesra dikongsi menjadi gelak ketawa. Manusia mempengaruhi dan dipengaruhi. Seperti ada satu rantaian yang terbentuk hanya melalui satu jelingan atau sentuhan. Mahu tidak mahu, aku seperti manusia yang lain, hidup bergelumang dengan rantaian ini cuma sejak beberapa tahun yang lepas, aku mahukan rantai lain, iaitu melalui sekeping gambar.

Aku akui aku melalui waktu yang sukar beberapa tahun yang lalu. Perkara mudah juga sentiasa berat bagi aku. Gadis saiko. Itu yang aku terima. Aku sendiri tidak sedar waktu itu, semua gambar yang aku edit mesti melibatkan darah, pecah kepala, pecah perut, pecah kaca pecah gelas, sehinggalah Toin menyedarkan aku tentang itu. Kalau bukan Toin, mesti Umare. Dia asyik complain lagu yang aku dengar terlalu ganas. Haahaha. Sejujurnya, aku rasakan aku ‘normal’ tapi sangkaan aku seperti biasa, silap. Aku tidak pernah terasa hati, jauh sekali marah dengan panggilan itu, kerana manusia berkata melalui apa yang mereka lihat. Aku yang memberi imej kepada penglihatan mereka melalui tindak tandukku. Aku biarkan emosi menguasai diri dan aku nyata tewas.

Aku tidak terasa jelek dengan ejekan, tetapi lama kelamaan aku mula tidak selesa dan tertanya tanya, bila semua ini akan berhenti? Saat tiba waktu itu, aku mahukan perubahan dan bukan bahagia yang aku jangkakan. Aku dahagakan perasaan bersyukur dan aku terdesak memilikinya. Aku memilih gambar untuk aku potretkan perubahan dan bagi aku waktu itu, itulah suara aku. Melalui gambar itulah aku menangis, di situlah juga aku belajar mengawal perasaan. Jika aku marah atau mengalami masalah, aku elakkan warna merah. Aku mahukan layer biru, mungkin sedikit layer coklat dengan opacity 55%, menggunakan ‘Exclusive’ sebagai Blending Options. Blend Layers, dan nah sekeping gambar yang akan aku ingat sampai bila bila. Ia bukan sekadar gambar, ia adalah rahsia.

Setiap gambar punya cerita sendiri, terlalu peribadi hanya aku yang tahu.