TAK APALAH BERBEZA

Salah satu perkara yang membuatkan aku segan untuk mengaku “aku sukakan korea” adalah kerana mereka takut pada perbezaan. Takut untuk aku berkata begitu kerana bakal menyinggung perasaan rakan-rakanku di Malaysia, yang rata-rata memuja Korea lebih dari negara sendiri. Aku juga kurang bijak membuat penilaian, jadi anggaplah apa yang akan kutulis hanya satu suara kecil yang tak mampu merubah apa-apa. 

Hipokrasi. Betapa aku mahu merubah segalanya.

Aku terdiam sebaik sahaja cikgu subjek Quality Control & Management aku mengeluarkan satu fakta yang sentiasa aku percaya sebelum ini, cuma inilah kali pertama aku mendengar ia keluar dari mulut orang Korea sendiri. Katanya, dalam dunia ini hanya ada dua sistem, pencetus dan pengikut. Dan Korea tidak akan sesekali menjadi pencetus, malah percaya mati-matian terhadap prinsip “fastest follower”. Mereka akan kejar apa sahaja teknologi dari Honda, Apple atau Petronas dan mereka akan buat yang lebih baik dari apa yang sudah ada. Alasannya, mereka takut perbezaan. Yes, yes cikgu! Terima kasih kerana menyedari hakikat itu! 

Penumpang yang dihormati, selamat datang ke Korea. Sila pastikan anda memasang tali pinggang keselematan sebelum berlepas. Buat si gadis, pastikan kaki anda sehalus batang pokok betik, dan bagi yang sebesar batang kelapa, anda dinasihatkan terjun melalui tingkap terdekat. Jeling jejaka di sebelah anda, pastikan mereka setinggi 180cm ke atas untuk terbang dengan selamat. Sekian, terima kasih kerana menaiki penerbangan kami. 

Ironinya, aku sudah menghabiskan masa yang lama untuk satu gambar di Photoshop. Aku menarik curve ini dan itu, berkira kira untuk merubah gambar itu menjadi sesuatu yang aku tidak pasti. Jika aku hasilkan mengikut caraku, adakah mereka akan suka? Tapi warna-warna gambarku seolah olah mati, tiada seri. Aku benci untuk mengaku yang aku takut untuk berbeza, bermakna aku berani untuk menipu diri sendiri. 

Terima kasih untuk Mr. Huggies untuk kesedaran itu.