selamat jalan romeo

Tajuk di atas berbunyi penuh prasangka (suspicious).
Tepat jam 9:18 malam tadi, maka berakhirlah drama swasta yang ditunggu-tunggu. Projek Aspen Icarus telah dihantar, jadi aku secara tidak rasminya mengisytiharkan aku sudah pulang ke Malaysia. Hanya Tuhan yang tahu betapa aku menggeletik menunggu saat ini, apatah lagi apabila rakan-rakan yang lain sudah mengumumkan cuti mereka seminggu yang lalu. Sedang aku masih berulang alik dari rumah ke sekolah di subuh hari, tatkala mereka nyenyak tidur.

Sekurang-kurangnya aku terasa sedikit pandai dan cemerlang dengan cara begitu. Dengan markah yang hidup segan mati tak mahu, aku selesa bila teringat betapa banyak yang aku belajar dari pengalaman. Aku mungkin tidak sebagus di kertas peperiksaan, tapi aku punya kelebihan yang aku selalu banggakan.
Aku tersenyum bila melihat garisan putih yang ditinggalkan roket di langit. Aku tahu 10 jenis makanan berprotein tinggi. Aku boleh membuat suara bayi dan penyanyi Hindustan. Aku ada lagu tema setiap kali melalui kawasan penuh lalang dan semak samun. Aku menunggu setiap hari untuk mendengar bunyi hujan. Aku ada drama yang aku cipta setiap kali menaiki bas. Aku gembira bila menutup mulut kucing yang mahu menguap. Aku boleh sampai ke mana sahaja yang aku mahu, buat apa yang aku impikan, dengan hanya memejam mata. Aku bahagia dengan membukakan telinga dan hati.
Aku selalu berharap kau juga begitu.