I Found A Whistle by MGMT
A celebration of a young, faithful, and a fool gadis .












I Found A Whistle by MGMT
A celebration of a young, faithful, and a fool gadis .













Jika aku diberi peluang untuk bermimpi, aku akan akan pilih untuk mengetahui apa yang kau mimpi. Aku tidak pernah tahu, maka aku ingin tahu. Apa yang kau fikir tentangku, pendapatmu waktu aku menyarung baju baru, saat aku berpura-pura lalu di hadapan kamu, agar kelibatku menjadi imej dalam mimpi kamu. Betapa aku bodoh melawan realiti dengan fantasi. Kau langit dan aku Bumi. Aku takkan mampu terbang tinggi malah terlalu jauh dari pandanganmu, sama seperti pasir halus di dalam debu yang terbang menjadi kotoran kotak kenangan kamu. Aku sedayanya meneropong melalui kotak mimpi dan esok lusa aku akan bangun.
Tolong jangan bangunkan aku .


Tahukah kau di sebalik pagar yang kau bina untuk memisahkan aku dan kamu, aku masih punya ruang untuk melihat ke dalam kamu? Menyiasat gerak hati kamu, sebelum ia sampai ke akal kemudian menjadi perlakuan. Aku tahu penipuan itu. Engkau tersenyum tetapi engkau gusar. Engkau berkuasa tetapi engkau takut.
Tahukah engkau saat kau terbang terlalu tinggi, hingga sakit aku mendongak, engkau tidak akan pernah mampu melarikan diri? Ada mata yang melihat, mengawasi setiap pergerakan kamu tanpa rasa penat. Itu bukan aku. Itu Dia.
Sedang kau fikir kau paling berkuasa .

Manusia sangka mereka tahu segalanya, setiap selok belok Bumi tidak berpeta. Tanah yang mereka sangka milik mereka, mereka rampas tanpa maruah. Aku tertunduk malu melihat tangan kosongku yang tidak mampu berbuat apa-apa tatkala tanah pujaanku mulai bertukar kemerahan. Merah bukan Valentines bagiku, ia darah sahabatku. Kami tidak pernah bertentang mata, cuma entah mengapa dada aku berdetak kencang, nafasku senak sesak sebelum ia terhenti apabila sahabatku mati.
Sejahtera ke atasmu Palestin.
Lokasi : Anyang Arts Park {안양예술대공원}

Jika aku diminta untuk memilih satu perkataan yang bermain dalam benak kepala, aku tanpa gusar memilih PERCAYA. 7 huruf digabung membentuk satu perkataan yang bila disebut dihujung lidah, ertinya berlainan dengan yang di hati. Satu perkataan jahat, menggangu gugat ketetapan pendirian dan emosi. Jika ia berubah erti, dalam sedetik dunia ini porak peranda, anak kecil kehilangan tempat tinggal, seorang isteri menjadi janda, manusia jadi tidak bertuhan dan aku mula mengeluh.
Aku mula mengeluh.

Kepala aku berpusing memandang kelajuan roller coaster di atas kepala aku. Mengagumi kelajuannya menentang arus angin, mengamati genggaman kuat si polan yang menaiki pada penghadang keselamatan, mendengar jerit pekik yang mereka tafsir sebagai keseronokan, yang aku tafsir sebagai ketakutan. Fikiran aku melayang memikirkan betapa besarnya KEPERCAYAAN mereka kepada sistem keselamatan. Jika harga tiket adalah 26,000 won dan hari itu aku menaiki 8 permainan, jadi aku kira nyawa aku ketika itu hanyalah berharga 3,500 won. Panggil aku pengecut, kerana nyawaku lebih dari itu.
Atau alasan lebih mudah, aku tidak PERCAYA.

Bagaimana untuk aku tahu apa yang aku percaya itu benar? 4 tahun yang lalu, aku meninggalkan tanah air untuk negara yang aku PERCAYA menjanjikan masa depan yang cerah untuk aku. Aku tinggalkan segalanya, untuk sesuatu yang aku tidak pasti. Aku sibuk mengejar dan kini larian aku hampir ke penghujung. Sejujurnya aku berdebar dan aku kini terlalu ingin tahu apa yang turut dirasai oleh rakan seperjuanganku. Adakah sama adakah berbeza. Jika berbeza, pihak manakah yang benar? Apa erti masa depan cerah bagiku, entah aku pun tidak tahu. Duit yang banyak? Pangkat atau gelaran? Jawatan di tempat kerja? KEPERCAYAANKU mula pudar dan aku mulai ragu. Kini yang kumahu bukan itu.

PERCAYA itu terlalu susah untuk kutemu, kerana ia hanya ada satu, dan syukur itu adalah untukMu.

Perjalanan yang terlalu lama mula membuatkan aku ‘panas’. Satu markah untuk cuaca yang panas dan satu markah lagi untuk daya geseran yang terhasil akibat terlalu lama di atas kusyen kereta. Ditambah daya geseran untuk dua jam seterusnya di atas kerusi feri, aku cuma ditemani rasa tidak sabar untuk menjejakkan kaki di pulau yang tersenarai di antara pulau tercantik di dunia, iaitu Pulau Langkawi.
Bagi pelancong asing, Langkawi adalah satu kawasan yang perlu dilawati sebelum mereka mati. Namun bagi warga tempatan, ia dikenali sebagai kawasan membeli belah sehingga mati. Aku mula gelisah apabila emak dan maksu mula sibuk bercerita tentang kain batik, minyak gamat, pinggan mangkuk Corelle dan Vision kerana apa yang terbayang di kepalaku adalah burung helang, mengelilingi pulau dan berlarian di tepian pantai dengan kaki terjingkit-jingkit.
Nampaknya impianku dimakbulkan.

Perjalanan yang lama akhirnya berbaloi setibanya kami di Pulau Langkawi yang tersimpan seribu satu sejarah.Kami memilih untuk menetap di Pantai Chenang berbanding bermalam di Kuah atas nasihat penduduk setempat, walaupun Kuah nyata lebih hampir kepada pusat membeli belah dan berhampiran dengan Jeti Perlabuhan. Menetap di Pantai Chenang sememangnya pilihan bijak, dan menguntungkan aku secara peribadi, kerana mak dan maksu tidak dapat mengelak pelbagai pakej menarik mengelilingi pulau dan sebagainya dek kecantikan Pantai Chenang.

Sememangnya perjalanan ke Langkawi selama 3 hari tidak akan mencukupi. Terlalu banyak tempat menarik untuk dilawati, dan terlalu banyak kenangan indah yang ditemui. Aku keluar seawal 7 pagi, masuk semula ke resort pada jam 1.15 petang untuk sembahyang dan makan, kemudian keluar semula pada jam 2petang, sebelum kembali semula ke bilik pada jam 11.00 malam. Jadual PLKN pun tidak sepadat ini namun rasa teruja aku lebih penting untuk melihat keindahan Bumi ciptaan Allah ini. InsyaAllah, satu persatu tempat menarik ini akan dikongsi dan dimuatkan dalam entri seterusnya berserta foto yang sempat diambil semasa di sana.
Siapa sangka di sebalik kemajuan yang di capai pada hari ini seperti deretan kawasan bebas cukai atau rumah mewah sebesar istana di tengah sawah padi ini terlindung berjuta sejarah pahit dan duka yang dialami selama tujuh keturunan Mahsuri. Mengagumi sejarah, keindahan dan kemakmuran Langkawi, membuat aku berfikir sejenak, betapa sejarah merubah kita. Sejujurnya, antara banyak-banyak tempat yang aku lawati, inilah satu-satunya tempat yang buat aku meronta-ronta untuk pergi sekali lagi.